Saturday, August 22, 2009

Adakah Anda sedar Betapa Seriusnya Wabak H1N1

KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA PANDEMIK (H1N1) 2009
DAN TINDAKAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

9 OGOS 2009

Pada 9 Ogos 2009 sejumlah 202 kes baru influenza A(H1N1) termasuk 8kes kematian dilaporkan. Kesemuanya adalah kes tempatan yang terdiridaripada warga negara Malaysia. Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 9 Ogos 2009 adalah sebanyak 1780 kes dengan jumlah kematian 26 orang. Untuk makluman, pada masa ini terdapat seramai 63 pesakit sedang dirawat di hospital dan seramai 13 lagi dirawat di ICU. Daripada 13 kes tersebut, yang berada di Unit Rawatan Rapi, 4 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), post -delivery (1) dan bayi (1). Untuk makluman, 8 kematian yang dimaksudkan hanya satu(1) kematianyang berlaku pada 8 Ogos 2009, manakala yang lain adalah kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan ada mendapat jangkitan H1N1 pada 7 Ogos 2009 dan dilaporkan pada 8 Ogos 2009 secara formal sebagai kes-kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan influenza A(H1N1). Kesemua 8 kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko. Tarikh kematian sebenar 8 kes
tersebut adalah seperti berikut 3 Ogos(1), 5 Ogos(2), 6 Ogos(4) dan 8 Ogos(1). Merujuk kepada situasi global, sehingga 9 Ogos 2009, sejumlah 207,089 kes dengan 1,588 kematian telah dilaporkan daripada 174 negara. Ia merupakan
peningkatan sebanyak 1175 kes dengan 20 kematian berbanding dengan hari sebelumnya. Saya ingin meminta orang ramai supaya sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil langkah-langkah berikut:

1. Bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1) (Lampiran 1) diminta SEGERA mendapatkan rawatan. Rawatan anti-viral akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahanmakmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakitjika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

2. Bagi mereka yang mempunyai simptom yang ringan diminta untuk mendapatkan rawatan simptomatik. Mereka juga
dinasihatkan untuk berada di rumah dan membatas pergaulan serta aktiviti di luar. Kebersihan diri dan etika batuk perlu sentiasa diamalkan. Sekiranya terpaksa keluar, pakai penutup mulut dan hidung ( mask ) jenis ‘three ply’ untuk mengurangkan penularan virus kepada orang lain.

3. Berikan perhatian kepada tanda-tanda amaran seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk/kahak berdarah, muntah/cirit-birit yang kerap. Dapatkan rawatan SEGERA apabila mengalami tanda-tanda tersebut.

4. Orang ramai diminta terus mengamalkan cara hidup sihat termasuk banyak meminum air, tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal. Amalkan langkah-langkah pencegahan H1N1 bagi mengurangkan penularan penyakit ini.

5. Penutupan sesebuah sekolah atau institusi bergantung kepada penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan persetujuan bersama dengan pihak pengurusan sekolah atau institusi.

6. Di hospital kerajaan, ujian pengesahan jangkitan influenza
A(H1N1) hanya dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke hospital sahaja. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200
dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kamimemberi perkhidmatan yang berkesan.
Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN)
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
Tarikh: 9 Ogos 2009

Lampiran 1

Orang yang berisiko tinggi mendapat komplikasi:
• Kanak-kanak berusia kurang dari 5 tahun
• Warga tua berusia 65 tahun ke atas
• Kanak-kanak dan remaja berusia kurang dari 19 tahun yang
mengambil ubat aspirin untuk tempoh rawatan jangka panjang
• Wanita hamil
• Orang dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai penyakit
sampingan yang lain seperti asma, penyakit paru-paru kronik,
kegagalan fungsi organ, penyakit kardiovaskular, penyakit hati,
penyakit sistem darah, penyakit saraf, dan gangguan metabolik
seperti diabetes.
• Orang dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai daya
ketahanan badan yang rendah (termasuk akibat ubat-ubatan
tertentu, pesakit kanser, dan HIV)
• Penghuni pusat penjagaan kesihatan serta fasiliti penjagaan
kesihatan kronik yang lain
• Individu yang mempunyai berat badan berlebihan (obesiti)